Nurul Shazreen sekeluarga bersembang guna bahasa Tamil

Nurul Shazreen sekeluarga bersembang guna bahasa Tamil

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Shah Alam: Bukan hanya faham, malah Nurul Shazreen Shamrin Maniam fasih bertutur dalam bahasa Tamil sejak kecil.

Nurul Shazreen, 28, berkata, dia tidak pernah belajar atau mengikuti kelas bahasa Tamil secara khusus, melainkan mempelajari daripada bapanya, Shamrin Maniam, 56, yang berdarah campuran India dan Cina atau dikenali Chindian.

Kata wanita yang tinggal di Setia Alam itu, empat adik-beradiknya yang lain turut fasih hingga mereka sekeluarga tidak kekok bersembang dalam bahasa Tamil setiap kali berjumpa.

“Emak saya Melayu tapi disebabkan ayah Chindian, jadi itu yang menyebabkan saya dengan adik-beradik boleh bercakap dalam Tamil.

“Tak ingat umur berapa saya mula fasih bercakap Tamil, tapi yang pastinya sejak kecil lagi kerana dapat pendedahan daripada ayah.

“Adik beradik semua fasih cakap Tamil, malah kakak pandai menulis manakala emak pula hanya faham tapi pelat bila nak sebut perkataan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Shazreen yang sudah berumah tangga berkata, selain di rumah, dia juga mempraktikkan bertutur dalam bahasa Tamil ketika bersama rakan berbangsa India ketika di sekolah dahulu, selain ketika berurusan dengan peniaga.

“Memang perkara biasa untuk saya bercakap bahasa Tamil bila ke kedai atau jumpa orang India.

“Kalau pergi restoran mamak pun, saya cakap Tamil untuk mudahkan urusan sampai pernah dapat air percuma.

“Ada juga yang terkejut bila tengok saya fasih kerana muka saya lebih kepada Melayu, jadi mungkin mereka tak sangka,” katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Nurul Shazreen berkata, video dengan ibu bapanya itu dirakam sekadar suka-suka, ketika mereka berkumpul bersama pada Aidiladha lalu.

“Sebelum ini, saya kongsi video nyanyi lagu Tamil, tapi tempoh hari saya muat naik video bersembang dengan emak dengan ayah dalam bahasa Tamil.

“Lebih 1.2 juta sudah menonton dan saya sempat baca komen. Ada segelintir kecam, kata saya saja nak ‘claim’ bahasa Tamil, tapi hakikatnya bukan itu niat saya. Saya syukur lebih ramai yang beri komen positif,” katanya.

Nurul Shazreen turut mengakui kebolehan bertutur bahasa asing suatu kelebihan dan merancang untuk mempelajari bahasa Mandarin selepas ini, mengambil kira dirinya yang turut berketurunan Cina menerusi nenek sebelah bapanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top