Nutrivera raih keputusan positif di SAY ASPIRE 2026

Kuala Lumpur: Nutrivera Manufacturing Sdn Bhd mencatat pencapaian membanggakan pada Pusingan Akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE) Edisi Ketujuh.

Syarikat yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Balqis Raja Lokman itu tampil dalam kelompok 10 syarikat yang layak ke pusingan akhir menerusi produk dalam kategori makanan dan minuman (F&B), khususnya protein bar.

Kejayaan berkenaan mencerminkan potensi serta daya saing Nutrivera dalam kalangan syarikat tempatan yang sedang berkembang, selain memperlihatkan usaha berterusan syarikat memperkukuh produk dan penjenamaan.

Lebih penting, pencapaian itu turut menjadi platform buat Nutrivera meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam usaha meneroka pasaran yang lebih luas, termasuk peluang menembusi pasaran antarabangsa.

SAY ASPIRE adalah inisiatif Selangor Youth Community (SAY) yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan menerusi bimbingan berkaitan strategi eksport, pematuhan standard global serta pembinaan rangkaian perniagaan strategik.

Pusingan akhir edisi ketujuh itu turut mendapat perhatian apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli dan menjadi antara panel juri yang menilai pembentangan finalis.

Bagi Raja Balqis, pencapaian berkenaan menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan Nutrivera untuk terus berkembang serta memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri makanan dan pemakanan.

Kejayaan meraih keputusan membanggakan itu juga menyuntik motivasi kepada Nutrivera untuk terus membangunkan produk berkualiti, di samping memperluaskan potensi jenama tempatan ke peringkat lebih tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top