NYU enggan serah diploma pelajar kecam Israel

NYU enggan serah diploma pelajar kecam Israel

NEW YORK: Universiti New York (NYU) tidak akan menganugerahkan diploma kepada seorang pelajar yang menggunakan ucapan graduasinya untuk mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin dan mendakwa Amerika Syarikat (AS) bersekongkol dalam genosid.

Ucapan Logan Rozos sempena majlis graduasi pelajar Sekolah Gallatin NYU pada Rabu mencetuskan kecaman hebat daripada kumpulan pro-Israel yang menuntut universiti itu mengambil tindakan disiplin tegas terhadapnya.

Jurucakap NYU, John Beckman dalam satu kenyataan memohon maaf mengenai kandungan ucapan tersebut dan menuduh pelajar itu menyalahgunakan platform rasmi universiti untuk menyuarakan pandangan politik peribadi yang berat sebelah.

“Dia berbohong mengenai kandungan ucapan yang akan disampaikan dan melanggar janji untuk mematuhi peraturan universiti. Universiti kini menahan pemberian diplomanya sementara siasatan dan tindakan disiplin dijalankan,” katanya.

Universiti-universiti di seluruh AS ketika ini berdepan tekanan hebat untuk menyekat ucapan pro-Palestin atau berisiko kehilangan pembiayaan daripada pentadbiran Presiden Donald Trump yang menyamakan kritikan terhadap Israel sebagai satu bentuk antisemitisme.

Namun begitu, NYU yang turut dihadiri anak lelaki Trump, Barron setakat ini masih terlepas daripada kemarahan presiden.

Rozos, seorang pelakon dan ahli Gallatin Theater Troupe dipilih oleh rakan-rakan pelajar untuk menyampaikan ucapan bagi program seni liberal itu.

“Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku kini disokong secara politik dan ketenteraan oleh AS, dibiayai oleh wang cukai kita dan disiarkan secara langsung ke telefon kita sepanjang 18 bulan lalu,” katanya.

Ucapan Rozos menerima sorakan kuat daripada hadirin termasuk tepukan berdiri daripada sebahagian pelajar yang bergraduasi.

Scroll to Top