Objek seperti torpedo ditemukan di perairan Indonesia

Objek seperti torpedo ditemukan di perairan Indonesia

Jakarta: Tentera Laut Indonesia (TNI AL) memaklumkan pada Khamis bahawa pihaknya sedang menyiasat satu objek menyerupai torpedo yang ditemukan oleh seorang nelayan berhampiran Selat Lombok, iaitu laluan perairan utama yang menghubungkan Lautan Hindi dan Pasifik.

Objek sepanjang 3.7 meter dan lebar 65 sentimeter (sm) itu ditemukan di dalam air pada 6 April lalu, kira-kira 10 kilometer (km) dari pulau pelancongan popular Gili Trawangan, Nusa Tenggara Barat.

Seorang nelayan berusia 28 tahun segera melaporkan penemuan luar biasa itu kepada pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya bertindak mengambil objek berkenaan.

Jurucakap tentera laut, Tunggul berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menentukan asal usul, fungsi dan data yang terkandung dalam peranti berkenaan.

Katanya, TNI kekal komited untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara daripada sebarang aktiviti tanpa kebenaran termasuk penggunaan peranti bawah air oleh pihak tidak berautoriti.

Ketua Pangkalan Tentera Laut Mataram, Asep Tri Prabowo pada Rabu berkata, objek itu kini berada di bawah pengawasan ketat dan akan dihantar ke Jakarta untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan awal oleh skuad bom Polis Nusa Tenggara Barat mengesahkan bahawa objek berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan letupan atau radioaktif.

Media tempatan melaporkan bahawa tulisan pada objek itu menunjukkan ia berkemungkinan dikilangkan oleh China Shipbuilding Industry Corporation.

Objek berkenaan dipercayai adalah sebuah peranti yang digunakan untuk mengukur kelajuan arus laut.

Ini bukan kali pertama objek asing ditemukan di perairan Indonesia selepas kejadian serupa membabitkan nelayan di Kepulauan Selayar, Sulawesi Selatan pada 2021.

Dalam kejadian sebelum ini, pihak tentera mengesyaki peranti ‘seaglider’ yang ditemukan itu digunakan untuk penyelidikan oseanografi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top