lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ke arah kemampanan alam sekitar, pengeluar peralatan asli (OEM) automotif di negara ini digesa melaksanakan amalan mesra alam sekitar, melabur dalam teknologi hijau dan menyepadukan penggunaan tenaga baharu dalam operasi seharian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata selain menyokong kemampanan terhadap pengeluaran dan reka bentuk kenderaan, OEM bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar malah mewujudkan ekosistem masa hadapan yang berkembang maju.
“Bagi sektor automotif, ia menawarkan peluang yang besar juga selaras dengan matlamat kemampanan lebih luas dan bersama-sama kita boleh melonjakkan Malaysia menjadi peneraju dalam industri automotif global sebagai pembuka jalan ke arah masa hadapan lebih hijau, inovatif dan inklusif,” katanya ketika berucap di acara Malaysia Car Of The Year 2024 di sini.
Katanya, ia seiring dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang bersedia untuk menjadi peneraju ke arah peralihan kepada tenaga baharu sebagai keutamaan serantau.
“Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia bersedia untuk menjuarai peralihan tenaga boleh baharu sebagai keutamaan serantau.
“Usaha kolektif ini menekankan lagi komitmen kita untuk mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.
“Bersama-sama, kita boleh membawa Malaysia ke barisan hadapan dalam industri automotif global, membuka jalan untuk masa depan yang hijau, inovatif dan inklusif,” katanya.
Sementara itu untuk Anugerah Malaysia Car of the Year 2024 (MCOTY) yang meraikan kecemerlangan pemain industri automotif tempatan menerusi 25 anugerah.
Model BYD Seal Premium adalah kenderaan elektrik (EV) pertama yang memenangi anugerah tertinggi keseluruhan sebagai ‘Overall Car of the year 2024’.
Proton memenangi anugerah ‘Best Value for Money Car’ menerusi model S70 1.5 Flagship dan Perodua sebagai ‘Best Selling Car Brand in Malaysia’ dan ‘Most Energy Efficient Vehicle’ menerusi model Bezza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




