Pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud, atau lebih dikenali sebagai Ogy, pernah berdepan pengalaman menyeramkan apabila menjadi mangsa sihir selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga dengan aktor tersohor, Eman Manan.
Dalam perkongsiannya menerusi Podcast X’Klusif, Ogy berkata gangguan aneh mula menghantui hidupnya apabila dia sering mengalami perubahan emosi yang ketara, mudah naik angin tanpa sebab, kehilangan motivasi untuk bekerja, serta terlihat perkara-perkara yang tidak masuk akal.
Namun, segala persoalan akhirnya terjawab apabila satu penemuan mengejutkan berlaku di hadapan rumahnya.
“Saya terjumpa patung berwajah saya sendiri tertanam di depan rumah. Sejak itu, saya kerap mengalami gangguan pelik, menjadi pemarah, malas bekerja, dan sering nampak benda yang bukan-bukan,” kongsinya.
Keadaan itu semakin membimbangkan sehingga seorang kenalan, Tengku Asmah, iaitu isteri kepada pelakon Datuk Tarmimi Siregar, mengambil langkah menghubungi seorang imam bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
“Imam dari Masjid Kampung Baru dipanggil ke rumah saya. Sebaik tiba, dia terus berkata, ‘ada sesuatu di depan rumah, gali sekarang.’ Selepas digali, kami menemui patung wajah saya yang dibalut dengan kain kafan serta dipenuhi jarum,” jelasnya lagi.
Menurut Ogy, itulah kali pertama dia melihat sendiri bukti perbuatan sihir yang dihantar kepadanya.
Imam tersebut kemudian menasihatinya untuk menjalani proses pemulihan dengan berkunjung ke tujuh buah masjid untuk mandi serta menunaikan solat sunat taubat agar dapat membebaskan diri daripada gangguan tersebut.
@tanahberdaulat.tv Replying to @www.tikto.my.waty81 Ikuti luahan rasa Fauziah Ahmad Daud di saluran YouTube Tanah Berdaulat TV. Terbaik, hanya untuk anda! #tanahberdaulattv #xklusifbersamasyahril #ogyahmaddaud #sihir #fauziahahmaddaud
Sekadar info, Ogy dan Eman Manan berkahwin pada 23 Disember 1990, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian selepas 13 tahun bersama.




