
WASHINGTON: Ketika pegawai Amerika Syarikat berusaha meyakinkan rakyatnya untuk mendapatkan vaksin Covid-19, sebuah negeri bertindak menawarkan hadiah loteri bernilai jutaan dolar untuk penerima vaksin.
Gabenor Ohio, Mike DeWine, menerusi Twitter pada Rabu berkata, negerinya akan memberikan hadiah berjumlah USD1 juta setiap minggu selama lima minggu melalui loteri yang terbuka kepada penduduk berusia lebih 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
“Saya tahu ada yang mungkin kata, ‘DeWine, anda gila! Idea menawarkan hadiah jutaan dolar anda ialah pembaziran wang.
“Tetapi, pembaziran sebenar ketika pandemik sekarang – apabila vaksin disediakan kepada sesiapa yang mahukannya – ialah kehilangan nyawa kepada Covid-19,” tulis gabenor Republican itu di Twitter.
DeWine berkata, pemenang pertama akan diumumkan pada 26 Mei ini, disusuli pemenang baharu akan dipilih setiap Rabu selama lima minggu, untuk jumlah hadiah sama setiap kali.
Negeri itu turut menawarkan loteri untuk penerima vaksin di bawah 17 tahun – berbanding USD1 juta, mereka boleh mendapat biasiswa penuh empat tahun ke salah sebuah universiti di Ohio, hadiah berharga di negara dengan kos pendidikan tinggi sangat mahal.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) pada Isnin meluluskan vaksin Pfizer/BioNTech kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Wang untuk hadiah itu datang daripada dana persekutuan sedia ada yang ditubuhkan untuk menangani pandemik.
AS pada mulanya menyaksikan orang ramai berebut-rebut mendapatkan vaksin, dengan kira-kira 58.7% orang dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagaimanapun, jumlah dos harian yang diberikan kini berkurangan, dengan ramai yang belum divaksin teragak-agak berbuat demikian.
Pelbagai insentif ditawarkan di seluruh negara itu untuk meyakinkan individu yang belum membuat keputusan, termasuk pemberian bir, donut dan tiket ke acara sukan.
Bulan ini, Maryland mengumumkan penjawat awam boleh mendapat USd100 jika mereka divaksin.
Di Virginia Barat, jumlah sama ditawarkan sebagai bonus simpanan kepada mereka yang berusia 16 hingga 35 tahun, kumpulan umur yang teragak-agak mendapatkan vaksin.