Jeddah: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat menyokong cadangan balas Liga Arab, berbanding
rancangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya, dua menteri memberitahu AFP.
Keputusan oleh kumpulan 57 anggota itu dibuat pada mesyuarat tergempar di Jeddah, Arab Saudi, tiga hari selepas Liga Arab mengemukakan rancangan itu pada sidang kemuncak di Kaherah.
Alternatif yang dibuat oleh Mesir kepada pengambilalihan Trump yang dikutuk secara meluas dengan cadangan untuk membina semula Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin pada masa hadapan.
“Mesyuarat tergempar menteri OIC menerima pakai rancangan Mesir, yang kini menjadi rancangan Arab-Islam,” kata Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty.
“Ia sememangnya satu perkara yang sangat positif,” kata Abdelatty.
Trump mencetuskan kemarahan global dengan mencadangkan AS “mengambil alih” Gaza dan mengubahnya menjadi “Riviera Timur Tengah”, sambil memaksa penduduknya berpindah ke Mesir atau Jordan.
Pada sidang kemuncak Selasa di Kaherah, pemimpin Arab juga mengumumkan dana amanah untuk pembinaan semula Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokongnya.
“Langkah seterusnya ialah pelan itu menjadi pelan antarabangsa melalui penerimaan pakai oleh Kesatuan Eropah dan pihak antarabangsa seperti Jepun, Rusia, China dan lain-lain,” kata Abdelatty.
“Inilah yang kami akan cari dan kami mempunyai hubungan dengan semua pihak, termasuk Amerika.”
Bagaimanapun, cadangan balas itu tidak menggariskan peranan Hamas, yang mengawal Gaza dan ditolak oleh kedua-dua AS dan Israel.
Pelan itu “tidak memenuhi jangkaan” Washington, kata jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce kepada pemberita pada Khamis.
Utusan Timur Tengah AS Steve Witkoff memberikan reaksi yang lebih positif, menyebutnya sebagai “langkah pertama yang jujur dari orang Mesir.”
Rabha Seif Allam, dari Pusat Kajian Politik dan Strategik Al-Ahram di Kaherah berkata, Mesir sedang mencari “sokongan luas” untuk cadangannya.
“Ini adalah percubaan untuk membina pakatan luas yang menolak pemindahan” penduduk Palestin dari Gaza, katanya.
Rancangan Trump menyatukan negara-negara Arab, dengan Arab Saudi juga menjadi tuan rumah kepada pemimpin Arab, dua minggu lalu, untuk membincangkan pelan alternatif.
OIC juga menerima semula Syria, yang digantung pada 2012 pada awal perang saudara di bawah Bashar al-Assad, berikutan penggulingan pemerintah lama pada Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




