OKU hasilkan lukisan mangkuk tingkat bertaraf dunia

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu, kekurangan itu tidak menjadi penghalang bagi seorang gadis untuk berkecimpung dalam dunia lukisan bagi menyara diri dan keluarga.

Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 27, mula serius dalam bidang ini selepas mengikuti kursus dalam bidang Rekabentuk Fesyen dan Pakaian di Politeknik Ibrahim Sultan,Pasir Gudang, Johor.

Menurutnya, kekurangan diri bukan penghalang untuk beliau sebaris dengan individu lain yang normal malah sentiasa berfikiran positif demi memastikan setiap ilmu dapat dapat digunakan dengan sebaiknya.

” Alhamdulillah, saya dapat membuktikan kekurangan diri dan kini menjadi salah seorang pereka lukisan syarikat keusahawanan yang menghasilkan produk mangkuk tingkat terkemuka negara.

“Kejayaan hari ini adalah permulaan bagi diri saya untuk terus berusaha mempertingkat diri dengan idea baharu pada masa akan datang,” katanya kepada wakil Harian Metro.

Beliau yang mesra dengan panggilan Farahin berkata, sudah bekerja di syarikat

keusahawanan itu hampir dua tahun dan ketika kecil berminat bersolek, melukis dan mewarna.

Katanya, sebelum ini dia sangat meminati bidang lukisan dan pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, Johor.

Berkongsi tentang keluarga, anak ke dua dari tiga beradik kelahiran Johor Bharu ini berkata, dia dan abang berstatus OKU manakala ibu bapa serta adiknya normal seperti individu lain.

Menurutnya, dia bertugas sebagai pereka lukisan bagi mangkuk tingkat itu dan kemudiannya dilukis oleh pelukis tempatan menggunakan tangan.

Katanya, mangkuk tingkat tersebut juga mendapat tempat di hati peminat luar negara dan pernah dijual di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Qatar, Dubai, Jepun, Perancis dan China.

“Saya berterimaksih kepada ibu bapa, keluarga, guru dan pensyarah yang banyak mendorong sepanjang terlibat dengan kerjaya diceburi hari ini, “katanya.

Selain memenangi banyak pertandingan lukisan yang diadakan dalam negara, Farahin juga pernah menjadi naib juara dalam pertandingan Abilympics di Perancis pada 2023 .

Beliau menggunakan warna terang berkonsepkan elemen klasik dan tradisional seperti motif batik, kebaya dan nyonya pada mangkuk tingkat keluli menjadikan bekas makanan warisan itu tampil lebih unik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top