am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Walaupun dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, namun bekas penuntut Politeknik Kuala Terengganu (PKT) berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).
Ahmad Sofwan Tukhfah Afandi, 23, dari Johor Bahru berkata, kekurangan yang dimiliki tidak menghalangnya untuk turut sama berjaya dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, pensyarah, kakitangan dan rakan-rakan di PKT banyak membantunya dalam menggapai kejayaan sepanjang berada di politeknik berkenaan.
Katanya, dorongan ibu bapa juga membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang jurutera dalam bidang elektronik dan saya akan terus berusaha demi menggapai cita-cita saya itu.
“Saya kini melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektronik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),” katanya ketika ditemui di majlis Konvensyen Politeknik dan Kolej Komuniti Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.
Sementara itu, Tukhfah Afandi Ardani, 59, berkata, anaknya dikesan mengalami masalah pembelajaran ketika berusia sembilan tahun selepas melalui pemeriksaan doktor.
“Namun, dia masih ditempatkan di kelas biasa dan ketika berusia 15 tahun, anak saya memperoleh kad OKU kategori pembelajaran.
“Alhamdulillah, Ahmad Sofwan berjaya menerima diplomanya dan saya amat terharu dengan kejayaan yang diraih anak saya itu walaupun dikategori sebagai OKU pembelajaran.
“Saya juga berterima kasih kepada seluruh warga kerja PKT terutama pensyarah yang banyak membantu hingga anaknya berjaya menamatkan pengajian di politeknik berkenaan,” katanya.
Seorang lagi penuntut, Zarith Sofeea Yusop, 22, dari Kuala Lumpur berkata, dia menjalankan perniagaan produk kecantikan bagi menampung kos pengajian dan perbelanjaan sepanjang tiga tahun menuntut dalam jurusan Pelancongan dan Rekreasi.
“Setiap bulan, saya berjaya menjana pendapatan sehingga RM800 yang digunakan untuk menampung pengajian sepanjang menuntut di PHT.
“Ayah adalah pesara swasta, manakala ibu bekerja di stesen minyak dan saya ambil insiatif menjalankan perniagaan bagi meringankan beban kedua ibu bapa saya,” katanya yang memperoleh Anugerah Pengarah, Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Mohd Zahari Ismail berkata, seramai 565 penuntut diraikan di majlis konvokesyen kali ini.
“Konvokesyen kali ini membabitkan penuntut dalam pelbagai jurusan diploma di Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Hulu Terengganu dan Politeknik Besut.
“Selain itu, konvokesyen kali ini juga membabitkan Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat diploma dan sijil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd