OLIMPIK: Akreditasi dua jurulatih Belarus dilucut

OLIMPIK: Akreditasi dua jurulatih Belarus dilucut

TOKYO: Dua jurulatih Belarus dilucutkan akreditasi Sukan Olimpik 2020 atas dakwaan cuba memaksa seorang pelari pecut pulang ke negara mereka, insiden yang mencetuskan kritikan antarabangsa.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata, akreditasi Artur Shimak dan Yury Maisevich dilucutkan dan mereka perlu meninggalkan Perkampungan Olimpik.

Badan induk itu minggu ini berkata mereka menyiasat pasangan berkenaan kerana peranan dimainkan dalam kes Krystsina Tsimanouskaya, yang memohon perlindungan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini bagi mengelak dihantar pulang.

Dia berkata bimbang dengan keselamatannya jika dipaksa pulang ke Belarus, yang berdepan masalah politik selepas pilihan raya yang menyaksikan kembalinya Alexander Lukashenko bagi mengetuai negara berkenaan.

Tsimanouskaya ialah seorang daripada 2,000 ahli sukan Belarus yang menandatangani surat terbuka meminta diadakan semula pilihan raya dan melepaskan ahli politik yang dipenjara.

Namun masalahnya di sini, bermula apabila dia memuatnaik kenyataan di Instagram, mengkritik jurulatihnya kerana memasukkan namanya tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

IOC berkata dua jurulatih berkenaan “akan ditawarkan peluang untuk memberi kenyataan” tapi tindakan dikenakan kepada mereka diambil “kerana faktor kemanusiaan terhadap atlet” dari Belarus yang masih berada di sini.

– AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top