OLIMPIK: Axelsen ranapkan impian Chen Long

OLIMPIK: Axelsen ranapkan impian Chen Long

TOKYO: Pemain badminton Denmark, Viktor Axelsen memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo hari ini, sekali gus menjadi pemain bukan dari Asia pertama menjuarai gelaran itu sejak 1996.

Pemain nombor dua dunia yang juga pemenang gangsa Rio 2016 itu mengalahkan juara bertahan dari China, Chen Long 21-15, 21-12 di pentas final.

Kejayaan Axelsen itu membolehkannya mengikut jejak langkah rakan senegara, Poul-Erik Hoyer-Larsen yang muncul juara di temasya Atlanta 1996 dan pemenang terakhir pemain luar Asia.

Hoyer-Larsen yang kini menjadi Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut menyaksikan kejayaan Axelsen.

Chen Long yang juga pemain nombor enam dunia pula dalam pemburuan mengulangi pencapaian legenda China, Lin Dan yang memenangi dua emas di temasya terbesar dunia itu di Beijing 2008 dan London 2012.

Namun, dia gagal berbuat demikian apabila tunduk dengan aksi cemerlang dipamerkan Axelsen sekali gus membolehkannya melengkapkan koleksi pungutan pingat selepas meraih gangsa di London 2012, emas di Rio 2016 dan kini perak di Tokyo 2020.

Pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pula merangkul gangsa apabila menewaskan pemain nombor 59 dunia dari Guatemala, Kevin Cordon 21-11, 21-13. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top