TOKYO: Atlet paling berusia di Olimpik Tokyo, Mary Hanna dari Australia berkata dia turut mensasarkan penyertaan di Olimpik 2024 sekiranya kesihatan dirinya mengizinkan.
Atlet ekuestrian itu bertanding dalam disiplin dressage itu, salah satu acara yang tidak membezakan jantina dan sering disertai atlet berusia 50 tahun ke atas.
“Saya tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan dengan diri saya. Saya sudah melakukan ini sejak dulu lagi.
“Menunggang kuda adalah sukan hebat yang anda boleh lakukan tanpa mengira usia dan jantina,” kata Hanna selepas sesi kelayakan semalam.
Ketika ditanya adakah dia berharap dapat menyertai Paris 2024 yang bakal menjadi temasya ketujuhnya Hanna berkata: “Sudah tentu. Hanya tiga tahun lagi. Melainkan badan saya tidak mengizinkan, saya pasti mahu ke Paris.”
Hanna – yang mempunyai empat cucu dan 54 tahun lebih tua berbanding peserta termuda, pemain ping-pong Syria berusia 12 tahun Hend Zaza – masih memburu pingat Olimpik pertamanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




