aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bangunan baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bakal dikenali sebagai Olimpik House dijangka menjadi mercu tanda baharu Hab Sukan Negara dijangka akan siap sepenuhnya pada 2028.
Olimpik House akan dibangunkan di Bandar Sukan di Bukit Jalil itu menelan belanja sekitar RM97 juta.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika ditemui pada sidang media sempena Pelancaran Sambutan Hari Olimpik berkata, majlis pecah tanah dijangka akan dilakukan pada bulan Julai selepas mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Olimpik House ini bukan sekadar perpindahan lokasi semata-mata, sebaliknya simbol kemajuan pengurusan sukan negara.
“Jika kelulusan pelan bangunan (DO) dapat diperoleh maka proses pembinaan akan bermula hujung tahun dan dijangka siap menjelang akhir 2028.
“Malah kita sudah dapat lampu hijau majlis pecah tanah daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta PSM.
“Jadi kita akan mulakan proses penghantaran permohonan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kelulusan segera,” katanya.
Mengulas sama ada bangunan itu boleh siap sebelum Sukan Sea 2027, Norza tidak menolak kemungkinan untuk mempercepatkan fasa pertama projek berkenaan sekiranya terdapat kerjasama erat daripada pihak berkepentingan termasuk PSM dan DBKL.
“Kalau fasa satu boleh dipercepatkan, ia sangat bergantung kepada kolaborasi strategik ini.
“Sebab itu penting untuk kita semua MOM, PSM dan semua 58 persatuan sukan kebangsaan berada di landasan dan garis masa yang sama,” katanya.
Menurut Norza, pembinaan ibu pejabat baharu MOM bukan sekadar memenuhi keperluan operasi semasa, malah menjadi simbol kemajuan serta kemegahan sukan negara yang bergerak selari dengan peredaran zaman.
Dalam perkembangan yang sama, Norza turut mengumumkan MOM secara rasmi melantik PSM sebagai rakan strategik dalam memajukan pergerakan Olimpik di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




