TEHRAN: Iran meraikan kejayaan penembak berusia 41 tahun, Javad Foroughi yang memenangi emas Olimpik acara 10m rifel angin – menjadikannya pemenang Olimpik terbaru dan tertua negara itu.
Foroughi juga adalah atlet Iran pertama memenangi emas dalam acara menembak di Olimpik.
“Foroughi mencatat sejarah dengan tembakan emas,” kata akhbar utama Iran yang meletakkan wajahnya di muka depan – seperti dilakukan kebanyakan akhbar di negaranya.
Awal Mei lalu, Foroughi yang bekerja sebagai jururawat tentera berkata, dia berhasrat untuk berkhidmat di hospital medan di zon perang Syria, termasuk di Palmyra.
Foroughi turut dijangkiti COVID-19 pada Ogos tahun lalu, dan gigih membantu negaranya mengatasi wabak itu yang setakat ini menjangkiti 3,690,000 dengan 89,000 kematian dilaporkan.
Foroughi memulakan karier menembak secara profesional pada tahun 2017 dan memenangi emas Olimpik pertamanya Sabtu lalu. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




