OLIMPIK: Jinq En puas impian tercapai di Tokyo

TOKYO: Perenang negara, Phee Jinq En hanya mempunyai satu impian di temasya Olimpik 2020 iaitu untuk memperbaiki rekod kebangsaannya dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita.

Dan beliau berjaya menepati janjinya dengan bergaya dalam saringan dua yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, semalam.

Jinq En, 23, merekodkan 1 minit 08.40 saat (s) memperbaharui catatan miliknya sendiri 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

“Saya berpuas hati dan gembira dapat memecahkan rekod kebangsaan dan mencapai prestasi terbaik saya,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi kepada media hari ini.

Bukan itu sahaja, Jinq En adalah perenang kedua terbaik dalam saringan itu, hanya empat saat di belakang perenang Slovakia, Andrea Podmanikova yang mencatatkan 1:08.36s. Tilali Scanlan dari Samoa Amerika (1:10.01s) menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun, catatan masa Jinq En masih belum mencukupi untuk membolehkan beliau dalam kelompok 16 perenang teratas untuk mara ke separuh akhir yang akan diadakan hari ini.

Jinq En menamatkan saingan di kedudukan ke-29 daripada 43 peserta keseluruhan.

Bagaimanapun, cabaran atlet negara itu belum berakhir kerana beliau masih mempunyai satu lagi peluang akhir untuk mempamerkan aksi terbaik dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Dia bakal beraksi dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu ini.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd