KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih Bata Malaysia sebagai rakan kerjasama dengan jenama terbabit menaja dua jenis kasut kepada kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Majlis penajaan terbabit diadakan Isnin lalu yang dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria; ketua kontinjen negara, Datuk Lee Chong Wei dan Bata Malaysia diwakili Pemangku Pengurus Negara, Duncan Cowe serta Ketua Pemasaran, Diana Wong.
Menerusi satu kenyataan, Bata Malaysia menaja kasut kulit dan kasut sukan Power yang baru direka untuk setiap atlet yang mewakili negara ke temasya di Tokyo itu.
“Kami sangat berbesar hati untuk menjadi rakan kasut rasmi untuk MOM dan juga kontinjen negara.
“Kami memperbaharui kasut ekslusif Power dengan rekaan baharu dan warna yang bersesuaian dengan pemakaian untuk menunjukkan semangat membara atlet negara kita,” kata Duncan.
Dalam masa sama, Norza mengucapkan terima kasih atas kerjasama dengan jenama terbabit yang tidak henti memberi sokongan kepada MOM sejak 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd