OLIMPIK: Liu Ying berdebar tunggu malam esok

OLIMPIK: Liu Ying berdebar tunggu malam esok

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying mengakui berdebar menjelang upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik, malam esok yang menyaksikan dia bakal mengetuai kontinjen negara sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Namun, Liu Ying, 32, tidak berseorangan apabila dia akan ditemani jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang turut diberi penghormatan itu.

“Ini kali pertama saya diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera. Jadi, ada sedikit tekanan dan perasaan gementar, diharapkan semuanya berjalan lancar.

“Apapun, ini satu penghormatan buat saya sepanjang kerjaya sebagai pemain badminton negara,” kata Liu Ying yang memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Chan Peng Soon.

Aksi di Tokyo akan menjadi penampilan ketiga Liu Ying di pentas Olimpik selepas London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Dia tiba di Tokyo, Ahad lalu dan sudah pun melakukan persiapan akhir di gelanggang rasmi pertandingan di Musashino Forest Sport Plaza.

Berkongsi pengalaman setakat empat hari di perkampungan atlet yang terletak di Harumi, Futo, Liu Ying mendedahkan tempat yang paling digemarinya adalah dewan makan kerana menghidangkan makanan yang enak.

“Saya rasa paling ‘enjoy’ adalah makanan di kantin (dewan makan). Namun, dengan situasi semasa berikutan pandemik COVID-19, kami perlu berhati-hati dan sentiasa menjaga diri,” kata pemain berasal dari Melaka itu.

Peng Soon-Liu Ying akan memulakan aksi di Olimpik Tokyo kali ini menentang pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam saingan Kumpulan D, Sabtu ini.

Pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dan beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich turut diundi dalam kumpulan sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top