OLIMPIK: Majlis perasmian di hadapan ribuan kerusi kosong

OLIMPIK: Majlis perasmian di hadapan ribuan kerusi kosong

TOKYO: Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi temasya paling janggal dalam sejarah apabila upacara pembukaannya akan berlangsung di hadapan ribuan kerusi kosong, petang esok.

Hanya 1,000 perwakilan akan hadir ke Stadium Olimpik yang mampu memuatkan 68,000 tempat duduk pada upacara pembukaan yang selalunya diraikan secara besar-besaran oleh tuan rumah.

Namun, pada tahun ini selepas ditangguhkan setahun, masyarakat Jepun tidak begitu mempercayai penganjuran Sukan Olimpik kerana bimbang peningkatan kes daripada pelancong asing.

Upacara pembukaan berlangsung tanpa kehadiran penyokong namun berdasarkan raptai, ia membabitkan pertunjukan berteknologi tinggi termasuklah menggunakan dron.

Maharaja Jepun, Naruhito adalah antara tetamu penting termasuklah beberapa pemimpin dunia seperti Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Jill Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Perjalanan ke Tokyo 2020 mencetuskan pelbagai isu menyaksikan beberapa individu yang berkaitan dengan upacara pembukaan dipecat.

Pengarah upacara, Kentaro Kobayashi dipecat selepas berjenaka mengenai komedi 1998 yang merujuk kepada Holocaust.

Ia hanya tiga hari selepas komposer upacara itu mengundur diri susulan desakan umum apabila temuramah lamanya menyatakan dia membuli rakan sekolahnya yang kurang upaya.

Pengarah kreatif bagi upacara pembukaan dan penutup, Hiroshi Sasaki turut meletak jawatan pada Mac lalu apabila memanggil pelawak wanita yang berbadan besar seperti khinzir.

Fokus utama pada upacara terbabit iaitu nyalaan obor Olimpik yang membabitkan larian berganti-ganti bermula 16 bulan turut berdepan halangan tersendiri.

Selepas obor itu dinyalakan di Olympia, Greece pada Mac tahun lalu, larian obor di bahagian Greek dibatalkan selepas khalayak ramai menyerbu aktor Hollywood, Gerard Butler di Sparta.

Obor terbabit mendarat di Jepun tidak lama selepas itu dan selepas ditangguhkan, ia menjadi bahan pertunjukan di seluruh negara sebelum larian dimulakan semula, Mac lalu.

Namun, hampir separuh daripada larian obor itu tidak dilakukan di jalan umum kerana coronavirus dan penyokong tidak dapat melihat obor terbabit apabila ia tiba di Tokyo, bulan ini. -AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top