OLIMPIK: Penganjur temasya mohon maaf tersilap umum

OLIMPIK: Penganjur temasya mohon maaf tersilap umum

TOKYO: Penganjur Olimpik memohon maaf selepas pasangan Ukraine dalam acara renang artistik diumumkan bertanding buat Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC) pada majlis penyampaian hadiah di Pusat Akuatik Tokyo di sini, semalam.

Pasangan Russia, Svetlana Romashina dan Svetlana Kolesnichenko memenangi acara duet itu kelmarin manakala wakil Ukraine, Marta Fiedina dan Anastasiya Savchuk memungut gangsa tetapi diumumkan sebagai mewakili ROC.

“Ia sebenarnya kesilapan operasi,” kata jurucakap jawatankuasa penganjur, Masa Tanaka.

“Pengacara bahasa Perancis memanggil (pemenang pingat) sepatutnya berkata pasukan Ukraine, namun ia memanggil ROC.”

Kesilapan itu jelas sensitif kerana ketegangan diplomatik antara Ukraine dan Russia.

Wilayah Ukraine, Crimea diceroboh Russia ketika Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 dan selepas lebih tujuh tahun, Crimea masih diiktiraf sebagai wilayah milik Ukraine oleh undang-undang antarabangsa.

Konflik antara tentera kerajaan Ukraine dan pihak pemisah disokong Russia berterusan di wilayah Donbas berhampiran sempadan dikongsi kedua-dua negara.

– AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top