TOKYO: Perenang remaja Tunisia Ahmed Hafnaoui melakar kejutan di kolam renang apabila memenangi acara 400m gaya bebas lelaki.
Perenang 18 tahun itu memecut di 50m terakhir untuk merakam 3 minit 43.36 saat dan mengatasi perenang Australia Jack McLoughlin (3:43.52) serta perenang Amerika Syarikat Kieran Smith (3:43.94).
Ia adalah pencapaian membanggakan buat perenang muda Tunisia itu di pentas tertinggi dunia.
“Saya tidak mempercayainya, ia menakjubkan. Saya rasa lebih selesa di dalam air hari ini berbanding semalam. Saya juara Olimpik sekarang.
“Saya cuma masukkan kepala saya dalam air dan itu saja. Sukar untuk dipercayai. Impian saya menjadi kenyataan,” kata Hafnaoui.
Elijah Winnington, yang mengejutkan Mack Horton di Australia untuk memusnahkan harapan rakan senegaranya itu mempertahankan gelaran Olimpiknya, mendahului 100m pertama.
McLoughlin memintasnya selepas 200m dan seakan dapat merangkul emas tetapi Hafnaoui memecut pada 50m terakhir untuk kemenangan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




