OLIMPIK: Suhu Tokyo mengancam nyawa

OLIMPIK: Suhu Tokyo mengancam nyawa

TOKYO: Sebelum pandemik COVID-19 melanda dan menyebabkan Olimpik Tokyo tertangguh setahun, cuaca panas menjadi kerisauan utama di temasya berkenaan.

Olimpik dan Paralimpik Tokyo dijangka menjadi temasya paling panas dalam sejarah sukan berkenaan, dengan cuaca dijangka mencecah 33 darjah Celcius dan kelembapan tinggi.

Keadaan itu boleh menyebabkan penyahhidratan, keletihan dan strok haba kepada atlet dan kakitangan Olimpik.

Sebelum temasya bermula Jumaat lalu, pemanah Russia Svetlana Gomboeva pitam ketika pusingan kelayakan akibat kepanasan, dan pemain tenis nombor dua dunia Daniil Medvedev pula berkata cuaca di Tokyo adalah keadaan paling teruk pernah diharunginya.

“Ia seperti anda berada di dalam sauna atau seumpamanya. Terdapat banyak pelepasan haba seperti pendingan hawa dan kenderaan, serta kurang kawasan hijau di tengah kota,” kata profesor di Universiti Tokyo, Makoto Yokohari yang juga penasihat Jawatankuasa Penganjur Olimpik 2020.

Pada sebelah malam, apabila suhu menurun, laluan asfalt dan konkrit akan mengeluarkan haba yang terperangkap ketika di siang hari.

Darjah kepanasan di Tokyo hanyalah sebahagian daripada punca kepanasan melampau. Tahap kelembapan tinggi yang melambatkan pengeringan peluh seseorang turut memainkan peranan penting.

Katy Griggs, pensyarah di University Nottingham Trent yang mengkaji bidang psikologi sukan dan prestasi manusia, berkata keadaan itu akan menjadi lebih sukar buat atlet Para.

“Dengan kecederaan tulang belakang, mereka sukar berpeluh atau mengawal pengaliran darah kulit di bawah bahagian tercedera.

“Penyejatan peluh dan pelepasan haba menerusi pengaliran darah kulit adalah cara utama anda menyejukkan badan,” kata Griggs.

Pada tahun 2018, lebih 1,000 orang meninggal dunia akibat gelombang haba. Tahun berikutnya, puluhan lagi terkorban dan ribuan dimasukkan ke hospital ketika cuaca panas Julai.

Di Paris, penganjur Olimpik 2024, gelombang haba pada Jun dan Julai lalu mencatat suhu tertinggi kota itu pada 42.2 darjah Celcius. Lebih 1,400 orang meninggal dunia di Perancis. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top