Olivia Dean menang Artis Baharu Terbaik di Anugerah Grammy

Olivia Dean menang Artis Baharu Terbaik di Anugerah Grammy

Los Angeles : Penyanyi R&B dari Britain, Olivia Dean meraih kejayaan besar menerusi lagu pop Man I Need apabila muncul Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Grammy Ke-68.

Gabungan vokal ‘soul’ yang elegan dan sentuhan pop moden Dean dikatakan mengikut jejak langkah pemenang kegemaran Grammy terdahulu, seperti Amy Winehouse, Sade dan Carole King.

Selepas menjadi artis pembuka tirai bagi konsert jelajah Short n’ Sweet oleh Sabrina Carpenter, Dean dengan pantas menjadi artis utama yang mengadakan konsert di arena.

“Saya berdiri di sini sebagai cucu kepada seorang imigran.

“Saya adalah hasil daripada keberanian dan saya fikir golongan itu wajar diraikan. Kita tidak bermakna tanpa satu sama lain,” kata Dean dalam nada sebak.

Terdahulu persembahan lagu Man I Need nyanyiannya pada acara anugerah berprestij itu memukau penonton sehingga rata-rata yang hadir berdiri memberikan penghormatan.

Single yang melonjakkan nama Dean, Man I Need, menduduki tangga keempat dalam carta Billboard Hot 100 dan memacu albumnya, The Art of Loving ke tangga ketiga dalam carta Billboard 200.

Selain mendominasi carta muzik Britain tahun lalu, dia menjadi wanita British pertama selepas Adele yang berjaya menempatkan tiga single secara serentak dalam carta Top 10 UK. Dean juga mencapai kedudukan nombor satu bagi album dan single di negara itu.

Dean turut menjadi tumpuan berita tahun lalu selepas mengkritik hebat Ticketmaster dan platform lain berikutan harga jualan semula tiket konsert jelajahnya yang melampau tinggi,

Dengan kemenangan itu, Dean meneruskan rekod sembilan tahun berturut-turut di mana anugerah Artis Baharu Terbaik dimenangi pemuzik wanita solo.

Dean menewaskan Leon Thomas, Katseye, the Marías, Addison Rae, Sombr, Alex Warren dan Lola Young untuk memenangi anugerah itu. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top