Ollerenshaw letak jawatan Pengarah Teknikal Sabah FC

Ollerenshaw letak jawatan Pengarah Teknikal Sabah FC

Kota Kinabalu: Scott Ollerenshaw meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Sabah FC berkuat kuasa 14 Disember, untuk menumpukan kepada keluarga serta menjaga ibu bapanya yang semakin uzur di Australia.

Setelah menetap di Sabah selama 31 tahun, beliau menyifatkan keputusan itu sesuatu yang amat sukar dan berat untuk dilakukan, sambil menambah Sabah FC sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kehidupan beliau sejak kali pertama tiba di Kota Kinabalu pada 1994.

Antara 1994 hingga 1998, beliau adalah sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala FA pada 1995 dan Liga Perdana pada 1996, pencapaian yang disifatkan sebagai antara kenangan paling berharga dalam karier bola sepaknya.

Pada 2021, Ollerenshaw kembali ke kelab itu dengan menggalas tugas sebagai pengarah teknikal, yang antara lain bertanggungjawab untuk meremajakan Sabah FC dan beliau menyuarakan rasa bangga terhadap kemajuan kelab itu sepanjang lima tahun lalu.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau Sabah FC menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tempat ketiga selama tiga musim berturut-turut, mara ke separuh akhir Piala AFC, serta layak ke perlawanan akhir Piala FA 2025 sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara pasukan paling disegani di Malaysia.

Ollerenshaw turut merakamkan penghargaan kepada beberapa tokoh penting yang menyumbang kepada kebangkitan kelab itu, antaranya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden SAFA Datuk Shahelmey Yahya, serta bekas pengendali Harimau Malaya dan Sabah FC Datuk Ong Kim Swee.

“Tidak ketinggalan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyokong setia kerana tanpa mereka, maka tiadalah Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap peminat akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada skuad itu.

Ollerenshaw yang kini menetap di Australia seolah-olah memberikan bayangan yang beliau mungkin akan kembali sambil mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah dengan ungkapan ‘Sabah Maju Jaya’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top