DALAM usaha menyokong pembangunan pendidikan, pelaburan sosial serta inisiatif ekonomi Islam, Olympia Education dan World Islamic Economic Development (WIED) melancarkan sebuah dana amanah strategik iaitu WIED Trust Fund di Bangi baru-baru ini.
Pengerusi WIED, Tan Sri Dr Mohd Yusoff Noor berkata, penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen Olympia Education dan WIED dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, kepimpinan strategik serta pembangunan ekonomi Islam yang inklusif dan mampan.
Menurutnya, ekonomi Islam ini digerakkan bertujuan untuk memurnikan sistem ekonomi sedia.

DR MOHD YUSOFF
“Sebagai salah seorang pemain ekonomi Islam, usaha ini akan menyumbang ke arah kesejahteraan kehidupan kita semua.
“Walaupun hanya dijalankan oleh kumpulan kecil seperti kami, bidangnya sangat penting kerana apa-apa yang berlaku dalam kehidupan di dunia ini, ia sedikit sebanyak berkaitan dengan sistem yang masih boleh diperbaiki.
“Oleh sebab itu kami gunakan sistem ekonomi Islam untuk memurnikan sistem ekonomi sekarang,” katanya.
Tambahnya, Olympia Education dan WIED akan mengambil langkah mencari jalan supaya Malaysia menjadi lebih maju dalam ekonomi Islam sekali gus menjadi pangkalan kepada ekonomi Islam.
“Kita sudah dikenali di dunia sebagai salah satu pangkalan hab halal dan tidak mustahil Malaysia menjadi pangkalan kepada ekonomi Islam pula,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi UBB Amanah Berhad, Datuk Azmi Alias dan Pengarah Eksekutif Olympia Education, Muhammad Harris.

SHAHRIZAT (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran WISH di Bangi baru-baru ini.
Turut diadakan Majlis Permeteraian Usahasama antara WIED Capital Sdn Bhd dan UBB Amanah Berhad, Majlis Pelancaran Women of Influence, Strengh & Honour (WISH) dan Pelancaran Olympia Innovative School of Strategic Leadership & Sustainable Management.
Sementara itu, Shahrizat berkata, pihaknya turut berbesar hati mengumumkan untuk mengadakan WISH 2026 Global Summit di Bangi Golf Resort Hotel pada 14 Jun depan.
“Sidang kemuncak global ini akan menghimpunkan kira-kira 300 penyertaan pemimpin wanita dari dalam negara dan komuniti antarabangsa.
“Dalam sidang ini, peserta akan didedahkan dengan ciri-ciri terpuji yang diperlukan seorang wanita yang mempunyai inspirasi pemimpin,” katanya.
Tambahnya, pelbagai program akan dilaksanakan seperti forum bersama pemimpin, persembahan fesyen, pavilion dan penyampaian anugerah kepada wanita-wanita berkaliber sempena WISH 2026 Global Summit yang berlangsung selama sehari itu.
Ringkasan AI
- Olympia Education dan World Islamic Economic Development melancarkan WIED Trust Fund untuk menyokong pendidikan, pelaburan sosial, dan ekonomi Islam
- Ekosistem pendidikan, kepimpinan strategik, dan pembangunan ekonomi Islam yang inklusif dan mampan diperkukuh melalui inisiatif ini
- Ekonomi Islam bertujuan memurnikan sistem ekonomi sedia ada
- Malaysia berusaha menjadi lebih maju dalam ekonomi Islam dan diharapkan menjadi pangkalan ekonomi Islam
- WISH 2026 Global Summit akan diadakan untuk menghimpunkan wanita inspiratif dari dalam dan luar negara di Bangi Golf Resort Hotel



