Ombak besar, angin kencang, polis minta henti kutip kerang

Ombak besar, angin kencang, polis minta henti kutip kerang

am@hmetro.com.my

Dungun: Polis meminta penduduk supaya menghentikan aktiviti mengutip kerang di sepanjang pesisir pantai dekat sini, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, tindakan yang dilakukan itu dikeluarkan berikutan keadaan ombak besar dan angin kencang yang sedang melanda ketika ini.

Menurutnya, angin kencang berkelajuan kira-kira 60 kilometer per jam disertai ombak setinggi 4.4 meter meletakkan pesisir pantai di daerah ini dalam berisiko tinggi.

“Perubahan cuaca yang tidak menentu juga boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai dan pihak polis mengeluarkan arahan ini berkuat kuasa dengan serta merta.

“Kita memandang serius aktiviti ini dan arahan memberhentikan aktiviti mengutip kerang bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan berharap supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat individu yang tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Media melaporkan orang ramai membanjiri Pantai Sura untuk mengutip kerang yang memenuhi pesisir pantai terbabit sejak petang semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top