Online Scam Bukan Sekadar Hilang Duit, Mangsa Juga Boleh ‘Dibunuh Hidup-Hidup’ Oleh Sistem

Online Scam Bukan Sekadar Hilang Duit, Mangsa Juga Boleh ‘Dibunuh Hidup-Hidup’ Oleh Sistem

Ramai yang menyangka online scam hanya setakat hilang duit. Duit lesap, buat laporan polis, kes jadi statistik. Tamat.

Hakikatnya jauh lebih gelap! Online scam boleh memusnahkan kehidupan orang yang tidak bersalah dan menjadikan mereka seolah-olah penjenayah, padahal mereka juga mangsa keadaan.

“Dalam banyak kes, bukan scammer sahaja yang menganiaya orang. Sistem penguatkuasaan juga boleh ‘menghukum’ mangsa yang tak bersalah.

“Memang ada yang menyerahkan akaun mereka dengan sukarela untuk mendapat imbuhan namun ramai juga yang tidak sedar mereka dijadikan akaun keldai,” kata Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Masalah bermula apabila penjenayah siber sudah merompak terlalu banyak wang daripada rakyat Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun bermula 2023, jumlahnya sudah mencecah RM5 billion. 

Namun wang haram tidak boleh dibiarkan dalam akaun, ia perlu digerakkan, ‘dicuci’ dan ‘dihalalkan’ dalam sistem kewangan. Di sinilah ekosistem orang awam mula dibuli.

Menurut Siraj, aliran besar wang scam di Malaysia lazimnya berakhir dalam dua dunia iaitu e-dagang dan mata wang kripto.

Siraj Jalil

“Transaksi sektor E-dagang Malaysia dalam sembilan bulan pertama 2025 sudah cecah RM1 trilion. Ini kolam duit yang sangat luas untuk ‘dicuci’,” jelasnya.

Salah satu taktik kejam ialah scam tiga penjuru. Contohnya, seorang peniaga online menjual kamera RM2,500. Scammer curi gambar iklan, buka akaun palsu dan ‘jual’ kamera yang sama.

Penjenayah mengarahkan pembeli yang berminat membuat bayaran ke akaun penjual asal dan serahkan resit kepada scammer. Penjual yang menerima resit pembayaran daripada scammer kemudiannya membuat penghantaran barang sebagaimana kebiasaan.

Akhirnya scammer dapat kamera (yang akan dijual semula secara sah), pembeli hilang duit dan peniaga menjadi suspek. Akaun peniaga pula boleh dibekukan berbulan-bulan lamanya malah ada yang mencecah setahun.

“Apabila akaun dibeku, semuanya tersekat. Nak bayar bil pun tak boleh. Ramai terpaksa guna akaun pasangan atau anak untuk kelangsungan hidup walaupun tindakan itu salah kerana menjadikan mereka akaun keldai juga ,” kata Siraj.

Daripada mangsa scam, seseorang tiba-tiba berubah status menjadi suspek pengubahan wang haram. Mereka tidak pernah memilih untuk terlibat tetapi terperangkap dalam kejuruteraan sosial yang memanipulasi orang baik menjadi alat jenayah.

Jika e-dagang tempat ‘cuci duit’ kecil, dunia kripto pula menjadi ‘mesin basuh’ duit besar.

“Transaksi kecil pergi ke e-dagang. Kalau jumlah sangat besar, ia lebih mudah ‘dicuci’ di platform kripto. Satu Bitcoin sudah RM500,000,” jelas Siraj.

Platform yang tidak diiktiraf  perundangan Malaysia seperti Binance, KuCoin atau HTX sering menjadi pilihan kerana sukar dijejak dan mempunyai pengguna global.

Taktik serupa berlaku: scammer gunakan akaun keldai untuk membeli aset digital daripada peniaga sebenar. Peniaga lepaskan aset kepada scammer, tetapi sebaik sahaja transaksi berlaku, dia pula disiasat sebagai suspek.

Akaunnya dibekukan, nama tercemar walhal dia berurus niaga secara sah. Ada juga kes yang melibatkan penutupan akaun dan dilarang menggunakan apa-apa perkhidmatan perbankan negara. Bayangkan hidup tanpa bank dalam dunia digital hari ini.

Platform mata wang kripto jadi pilihan scammer untuk ‘mencuci’ duit dalam jumlah besar

Siraj turut berkongsi kisah seorang mangsa yang pada mulanya sudah mengesyaki dirinya diperdaya oleh scammer menyamar sebagai pihak berkuasa. Namun tekanan dan ketakutan membuatkan dia mengikut arahan scammer untuk membuka akaun bank baharu dan membuat pinjaman RM50,000.

Akaun itu kemudian digunakan sindiket untuk memindahkan wang tanpa disedarinya. Apabila diperiksa, duit habis dan transaksi mencurigakan memenuhi akaun. Dia jadi mangsa, tetapi akhirnya dilihat sebagai penjenayah.

Bagaimanapun polis dan pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.

“Polis pun tahu ada yang tak bersalah, tetapi undang-undang tidak boleh bersangka baik. Kalau semua dilepaskan, penjenayah akan guna peluang yang sama,” jelas Siraj.

Namun undang-undang hari ini menolak semua orang ke dalam satu kelompok iaitu suspek dahulu, mangsa kemudian. Sukar untuk sistem membezakan penjenayah daripada orang yang hanya berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Pindaan undang-undang terbaru pula menetapkan pembekuan akaun hanya boleh dibuka semula dengan perintah Mahkamah Sesyen. Proses ini panjang tetapi kehidupan mangsa tidak pernah berhenti, ada komitmen yang tetap perlu dibayar.

“Kalau akaun kosong tak apa. Tapi kalau semua simpanan ada dalam akaun itu, macam mana nak hidup?” soalnya.

Jika undang-undang tidak dipinda, kata Siraj, dalam tempoh lima tahun lagi semakin ramai orang biasa boleh terperangkap, hidup dalam kehinaan hanya kerana menjadi perantara kepada scammer tanpa sedar.

Lebih membimbangkan, scammer pula semakin pintar kerana ditunjangi penggodam yang memahami psikologi, teknologi dan kelemahan manusia.

“Soalannya, sudah berapa ramai penggodam dihukum di Malaysia?” tanya Siraj.

Kita sering menyalahkan mangsa kerana kurang berjaga-jaga sehingga lupa bahawa tiada kesedaran tanpa ilmu. Dalam perang digital ini, pengguna bukan kurang sedar tetapi mereka kurang perlindungan.

Ini kerana penjenayah siber sentiasa selangkah di depan. Mangsa pula sering ditolak ke belakang, termasuk oleh sistem yang sepatutnya menyelamatkan mereka.

Akhirnya, scammer kekal bebas manakala mangsa yang tidak bersalah terjejas kehidupannya.


Scroll to Top