Op Fibre: Banglo mewah, kelab golf antara hartanah RM620 juta disita SPRM

Op Fibre: Banglo mewah, kelab golf antara hartanah RM620 juta disita SPRM

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Banglo mewah, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf antara hartanah bernilai RM620 juta yang disita susulan siasatan Op Fibre membabitkan kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dijalankan terhadap sebuah syarikat membabitkan projek pembangunan rangkaian fibre pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta.

Menurut sumber, sehingga kini SPRM juga sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.

“Hartanah yang disita ini seperti banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta di mana suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf berkenaan, selain menyita empat unit kenderaan mewah yang bernilai kira-kira RM2 juta.

“Sehingga kini, SPRM juga membekukan sebanyak 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat dan berkata, notis Pengisytiharan Harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai lalu.

Tangkapan terhadap suspek adalah susulan Op Fibre yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.

Pada 30 Jun lalu, BOK menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di Selangor dan Kuala Lumpur.

Melalui operasi itu, SPRM membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top