Op Global: Mudir, pengerusi madrasah ditahan JHEAINS

Op Global: Mudir, pengerusi madrasah ditahan JHEAINS

am@hmetro.com.my

Seremban: Mudir dan pengerusi madrasah di Kuala Pilah yang terbabit siasatan Op Global ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, kira-kira 9 malam tadi.

Kedua-dua lelaki masing berusia 51 dan 58 tahun disyaki cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram di Negeri Sembilan pada 2016.

Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah Pengarah berkata, tangkapan itu susulan daripada operasi 6 September lalu.

“Selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak polis di IPD Kuala Pilah malam tadi, kedua-dua lelaki ini ditahan Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS.

“Hasil daripada siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki ini menguruskan dan mengelola sebuah sekolah agama yang tidak berdaftar dengan JHEAINS dan kami juga mengesyaki mereka cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiyah,” katanya, hari ini.

Ketika pemeriksaan, JHEAINS mendapati madrasah yang dalam keadaan daif itu memuatkan 40 pelajar dan penghuni kanak-kanak.

Mohd Asri berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini untuk permohonan ikat jamin.

“Hakim Syarie Nurul Akmar Mohamad Hilmi membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin yang bermaustatin di Negeri Sembilan bagi setiap suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019 dan Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top