Op Grip: SPRM beku 41 akaun bernilai RM70 juta, sita aset RM13 juta

Op Grip:  SPRM beku 41 akaun bernilai RM70 juta, sita aset RM13 juta

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun perbankan milik individu dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta susulan serbuan ke atas syarikat dipercayai terbabit penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import dan eksport pada 29 September lalu.

Sumber berkata, serbuan menerusi Op Grip secara Multi Agency Task Force (MATF) itu turut menyita empat aset tak alih bernilai kira-kira RM13 juta.

Menurutnya, setakat ini dua syarikat dikenal pasti terbabit dalam sindiket itu dan antara modus operandi yang digunakan adalah pembelian melalui peniaga tidak sah dan penipuan pelekat.

“Siasatan awal mendapati tayar yang diseludup adalah tayar baharu tetapi ia mempunyai pelbagai isu seperti penipuan pelekat dan juga tampering barcode.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan,” katanya di sini, malam ini.

Serbuan berkenaan dilakukan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, SPRM juga sudah membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes berkenaan.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar berkenaan kerana didapati ia tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top