Op Hazard 3.0: Polis serbu 110 premis haram e-waste seluruh negara

Op Hazard 3.0: Polis serbu 110 premis haram e-waste seluruh negara

hafidzul@hmetro.com.my

Klang: Polis menyerbu 110 premis termasuk kilang haram dan premis besi buruk dalam Op Hazard 3.0 yang dijalankan di seluruh negara, hari ini.

Operasi bersepadu itu menyasarkan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram yang dikenal pasti memberi ancaman kepada alam sekitar serta melanggar undang-undang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, Op Hazard 3.0 membabitkan keseluruhan 1,611 kekuatan anggota daripada pelbagai agensi.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,089 pegawai dan anggota PDRM terbabir, manakala selebihnya membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya pada sidang media di Kapar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 110 premis diperiksa dengan 87 daripadanya dikesan positif menjalankan aktiviti berkaitan e-waste, termasuk 14 kilang haram.

“Setakat ini, tujuh premis masih dalam pemeriksaan lanjut.

“Operasi bermula seawal jam 7 pagi dengan penggunaan 293 aset termasuk 201 kereta, 51 van, 30 lori dan 11 dron,” katanya.

Suzrin berkata, pemeriksaan turut membabitkan 729 individu terdiri daripada 154 warganegara dan 575 bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu, seramai 205 individu telah ditahan melibatkan 39 warganegara, 66 bukan warganegara serta 100 warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah,” katanya.

Mengulas berhubung rampasan, beliau berkata, pihak berkuasa merampas sebanyak 316,278.5 kilogram e-waste dan 388,230 kilogram barangan lusuh.

“Selain itu, sebanyak 9,350 kilogram barangan lain turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM55,228,165.25,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengeluarkan sebanyak 342 kompaun dengan nilai keseluruhan RM82,450 terhadap premis yang melanggar peraturan.

“Produk akhir hasil pemprosesan e-waste dipercayai akan dihantar ke negara ketiga termasuk China bagi tujuan kitar semula.

“Bahan ini mengandungi elemen bernilai seperti aluminium, timah, tembaga serta emas yang diekstrak daripada komponen elektronik,” katanya.

Katanya, Op Hazard 3.0 adalah kesinambungan operasi terdahulu yang memberi fokus kepada isu pencemaran alam sekitar serta kemasukan e-waste secara haram ke negara ini.

Difahamkan, satu sidang media lanjut akan diadakan oleh Ketua Polis Negara pada Jumaat ini bagi memperincikan keseluruhan hasil operasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top