mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjalankan siasatan berhubung kes membabitkan IJM Corporation berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Sehubungan itu, pasukan penyiasat membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Pada masa sama, SPRM turut membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.
Selain itu, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Sehingga kini, sembilan rakaman pernyataan diambil termasuk dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit.
Dalam pada itu, rakaman pernyataan dua pengurusan tertinggi syarikat terbabit disambung hari ini dan lima orang saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) menjalankan siasatan terhadap dua individu pengurusan tertinggi IJM Corporation.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
© New Straits Times Press (M) Bhd




