Op Jack Sparrow: 13 ahli 'Geng Captain Praba' didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Op Jack Sparrow: 13 ahli 'Geng Captain Praba' didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Sepang: Seramai 13 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Captain Praba sejak Disember 2023 hingga 11 September lalu.

Mereka yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 adalah M Lavindran, 27; M Meganathan, 37; M Tinesh, 20; K Utayaragu, 29; M Thinesh, 31, S Jeevan, 19; J Sangaranarayanan, 28; P Joshua, 35; M Devindran, 25; M Nokarju, 29; S Tivagaran, 22; S Logeswaran, 26, dan D Vijayakumar, 36.

Tiada pertuduhan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dalam bahasa Tamil kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Captain Praba.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala 10 tertuduh diwakili peguam.

Tiga lagi tertuduh, Meganathan, Sangaranarayanan dan Vijayakumar tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam prosiding itu, peguam mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guam mereka bertemu ahli keluarga di perkarangan mahkamah selama 10 minit.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu. Perjumpaan itu dibuat di dalam sel dengan hanya dua ahli keluarga dibenarkan masuk.

Terdahulu, 13 lelaki terbabit tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal ketat pasukan keselamatan jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, lebih 20 pegawai dan anggota polis terbabit dalam tugas membawa kesemua suspek berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun dengan penahanan 17 orang menerusi Op Jack Sparrow.

Kumpulan didalangi seorang lelaki warga tempatan itu turut dikesan merekrut remaja bagi memasuki kumpulan terbabit demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan dengan 80 kes jenayah dilakukan mereka setakat ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan itu ditumpaskan menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak 11 September lalu.

Katanya, 17 suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi sebahagian daripada kira-kira 30 ahli kumpulan diketuai seorang lelaki tempatan yang aktif sejak 2023.

Menurutnya, tangkapan berkenaan membabitkan dua kumpulan berbeza yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top