am@hmetro.com.my
Butterworth: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) yang berisiko tinggi melalui strategi penguatkuasaan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) bermula Isnin.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya sudah mengenalpasti kategori syarikat pengendali yang berisiko tinggi iaitu membabitkan 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres.
Katanya, turut dikenalpasti syarikat pengendali yang mempunyai saman tertunggak menerusi senarai JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, fokus utama operasi khas itu adalah menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“Penguatkuasan Op Khas JISA ini membabitkan pelaksanaan laporan pemeriksaan dan audit keselamatan tertumpu kepada pematuhan kod tata amalan industri (ICOP) berkenaan keselamatan dalam industri pengangkutan.
“Ia juga dapat membuat semakan dan penyelesaian saman tertunggak pemilik kenderaan serta pemandu, selain pematuhan kepada pelan teknikal kenderaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang, hari ini.
Katanya, pengauditan itu dibuat susulan nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu, selain beberapa kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Aedy Fadly berkata, JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengendali yang didapati melanggar peraturan atau mengabaikan aspek keselamatan termasuk mengeluarkan notis kesalahan, penggantungan atau pembatalan lesen memandu vokasional (PSV/GDL) atau lesen pengendali syarikat
“Langkah ini adalah usaha berterusan JPJ dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya seterusnya memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd