suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Pelaksanaan Op Khas Pagar Laut menunjukkan impak positif dengan merekodkan 344 tangkapan dan rampasan bernilai hampir RM106.7 juta direkodkan antara 2020 hingga 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik yang dikumpul Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menunjukkan keberkesanan operasi ini dalam membendung jenayah maritim.
Katanya, sepanjang tempoh sama, tindakan penguatkuasaan turut berjaya menggagalkan 863 cubaan kemasukan haram yang melibatkan kira-kira 3,700 individu sekali gus menunjukkan usaha berterusan sindiket yang menggunakan laluan laut sebagai pintu masuk alternatif.
“Bagi rekod kita, bagi tempoh 2020 sehingga 2025, ada 344 kes tangkapan. Pelbagai kesalahan telah kita rekodkan manakala nilai rampasan mencecah RM106.7 juta.
“Negeri tertinggi yang mencatat rekod kes tangkapan ialah Sabah dengan 90 kes, Perak (71 kes) dan Johor (52 kes).
“Statistik ini jelas menunjukkan kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana sindiket yang cuba menggunakan laluan maritim sebagai pintu belakang negara,” katanya ketika meninjau persediaan Op Khas Pagar Laut Maritim Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Beliau berkata, kejayaan penguatkuasaan ini turut disokong oleh penggerakan berasaskan risikan dan pemetaan kawasan tumpuan, membolehkan rondaan dan intervensi dilaksanakan secara tepat.
“Aktiviti penyeludupan yang dikesan semasa operasi termasuk barangan terlarang, barangan terkawal dan pergerakan migran tanpa dokumen, menunjukkan cabaran pelbagai yang dihadapi pihak penguatkuasa maritim,” katanya.
Saifuddin menegaskan, perkongsian risikan berterusan dan operasi bersepadu antara agensi kekal menjadi tunjang dalam meningkatkan keberkesanan keselamatan maritim.
“Operasi ini akan terus menjadi platform strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan penguatkuasaan maritim sambil menegaskan langkah pencegahan terhadap sindiket jenayah rentas sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




