Op Mabuk: Dua ditahan, polis rampas heroin

Op Mabuk: Dua ditahan, polis rampas heroin

am@metro.com.my

Pontian: Polis menahan dua individu serta merampas 110.7 gram heroin dalam Op Mabuk di Kilometer 41 Jalan Pontian-Johor Bahru, di sini, semalam.

Operasi selama dua hari bermula 2 April lalu itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, selain memeriksa 132 kenderaan dan mengeluarkan 56 saman atas kesalahan seperti ubah suai ekzos serta tiada lesen memandu, dua individu turut ditahan berkaitan kes dadah.

“Dalam kes berkaitan dadah, lelaki berusia 40 tahun dan wanita berusia 45 tahun ditahan. Hasil pemeriksaan lelaki itu didapati memiliki 110.7 gram heroin.

“Hasil siasatan lanjut, saringan ujian air kencing juga mereka berdua positif dadah Methamphetamine, manakala lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top