Op Metal: 28 syarikat sudah digeledah

Op Metal: 28 syarikat sudah digeledah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 28 syarikat yang terbabit sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta, sudah digeledah setakat ini.

Menurut sumber, syarikat terbabit digeledah hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Multi Agency Task Force (MATF), dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara (BNM) sejak 14 Julai lalu.

“Siasatan masih berjalan dan sehingga kini, 32 orang sudah dirakam keterangan.

“Setakat ini, belum ada individu yang ditahan namun siasatan masih berjalan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sumber berkata, sehingga kini, jumlah keseluruhan pembekuan akaun dan penyitaan harta ialah RM332.5 juta.

“Ia membabitkan akaun bank RM149.5 juta, kereta (RM1.8 juta), rumah (RM15.5 juta), tanah (RM165 juta) dan jam tangan mewah (RM700,000),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009 serta di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Malah, ahli perniagaan bergelar Datuk Seri terbabit antara individu disiasat SPRM kerana terbabit seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Kegiatan itu terbongkar selepas SPRM melakukan serbuan di lima negeri. Sindiket penyeludupan besi buruk ini menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top