Op Metal: SPRM ambil keterangan 32 individu

Op Metal: SPRM ambil keterangan 32 individu

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 32 individu diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan besi buruk dan e-waste di lima negeri.

Sumber berkata, seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan itu antara diambil keterangan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.

Menurut sumber, beberapa akaun dibekukan dan disita membabitkan keseluruhan lebih RM332 juta.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Itu modus operandi sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

Kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menyerbu lima negeri terbabit sindiket penyeludupan besi buruk yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.

Susulan serbuan itu, tiga unit banglo, penthouse, lot kedai, tanah, ladang kelapa sawit, kereta mewah dan jam tangan mewah antara aset yang disita dianggarkan bernilai lebih RM183 juta.

Serbuan di bawah Op Metal itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu turut membekukan 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu, membabitkan nilai kira-kira RM51 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top