nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 10,112 peralatan komunikasi disyaki tidak diperakui dianggarkan bernilai RM 1 juta disita Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Op Optik, baru-baru ini.
MCMC dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan operasi itu dijalankan ke atas sebuah syarikat yang beroperasi di Klang dan Petaling Jaya.
“Syarikat itu dipercayai terbabit dalam penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal standard ditetapkan oleh MCMC.
“Op Optik dijalankan susulan maklumat risikan hasil kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM membabitkan 69 pegawai.
“Operasi itu yang bermula jam 12 tengah hari hingga 4 pagi mengambil masa selama 19 jam dengan 10,112 unit peralatan disyaki tidak diperakui disita,” katanya.
Katanya, antara peralatan yang disita termasuk kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar dan beberapa alat sokongan operasi premis termasuk komputer, mesin cetak, telefon bimbit dan router WiFi.
“MCMC turut mendapati bahawa aktiviti pemasaran dan penjualan peralatan berkenaan dijalankan melalui pelbagai platform e-dagang dan media sosial.
“Seramai 40 individu diambil keterangan awal, manakala sembilan notis kehadiran dikeluarkan termasuk kepada pengarah syarikat, pengurus operasi, pembantu gudang, hos siaran langsung dan pencipta kandungan.
“Mereka diminta untuk menghadiri sesi rakaman percakapan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya,” katanya.
Menurutnya, penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui berisiko menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal.
“Kegiatan itu juga boleh mengganggu rangkaian perkhidmatan, menurunkan kualiti perkhidmatan dan mengancam integriti pasaran tempatan.
“Kes itu disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
MCMC menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui demi melindungi kepentingan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd




