Op Sasar: 2 kilang elektronik nyaris henti operasi selepas pekerja asing ditahan

Op Sasar: 2 kilang elektronik nyaris henti operasi selepas pekerja asing ditahan

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Dua kilang pembuatan elektronik di Seberang Perai nyaris tidak dapat beroperasi selepas pekerja asing yang digajikan mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang yang melakukan Op Sasar, hari ini.

Ia susulan pemeriksaan mendapati mereka bekerja di negara ini tanpa permit sah.

Pengarah JIM negeri, Syamsul Fitri Ahmad berkata, serbuan ke atas dua kilang berkenaan diadakan hasil maklumat yang diterima mengenai penyalahgunaan permit kerja.

“Susulan itu, pemeriksaan dijalankan ke atas 103 pekerja warga asing yang mendapati 48 orang telah menyalahgunakan permit, selain ada yang tinggal lebih masa di negara ini.

“Pemeriksaan dokumen turut mendapati mereka melakukan kesalahan dengan bekerja di sektor dan syarikat lain, tidak seperti yang tercatat di dalam permit.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India dan China berusia antara 20 hingga 49 tahun,” katanya kepada pemberita semasa menyertai operasi itu hari ini.

Katanya, tahanan dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Syamsul Fitri mengingatkan majikan agar berhati-hati dalam menggajikan pekerja asing serta mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan, malah pihaknya akan terus konsisten melakukan penguatkuasaan berterusan ke atas pendatang asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top