Op Selamat 25 & 26: Jenayah pecah rumah turun, kemalangan maut pula meningkat

Op Selamat 25 & 26: Jenayah pecah rumah turun, kemalangan maut pula meningkat

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan kes jenayah sepanjang musim perayaan, namun menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kemalangan maut jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 25 dan 26.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil perancangan rapi dan rondaan secara berkala ke atas 61,122 kediaman, PDRM berjaya menurunkan kes jenayah kepada 747 kes pada Op Selamat kali ini berbanding 858 kes pada tahun 2025.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong oleh sokongan masyarakat yang memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang kini mempunyai lebih 1.7 juta pengguna berdaftar.

“Rekod sepanjang pelaksanaan Op Selamat menunjukkan sejumlah 16,889 pengguna telah menggunakan modul pemakluman balik kampung berbanding 8,036 tahun sebelumnya, iaitu peningkatan lebih sekali ganda,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Op Selamat 25 & 26 Tahun 2026 di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun kejayaan dicapai dalam aspek pencegahan jenayah, Mohd Khalid menegaskan cabaran di jalan raya masih menuntut kesedaran berterusan daripada orang ramai.

Beliau mendedahkan perangkaan trafik yang agak membimbangkan.

“Terdapat peningkatan hampir satu peratus jumlah kemalangan, iaitu sebanyak 9,934 kes berbanding 9,859 kes bagi operasi yang sama sebelumnya.

“Kes membabitkan kematian mencatatkan lonjakan hampir 17 peratus, meningkat kepada 90 kes berbanding 77 kes sebelum ini.

“Sebanyak 144,726 saman dikeluarkan di seluruh negara, dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 34.8 peratus (37,361 saman) berbanding 107,365 saman yang direkodkan semasa Op Selamat 24,” katanya.

Susulan itu, beliau menggesa setiap pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik, dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memandu.

Dalam usaha memastikan kelancaran Op Selamat 25 yang dilancarkan sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat 26 bagi perayaan Aidilfitri, PDRM mengaplikasikan pendekatan ‘Pre-Emptive Services’ dan ‘Total Enforcement’.

Mohd Khalid berkata, strategi utama yang digerakkan termasuklah sinergi antara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dalam penugasan sumber manusia.

“Penggunaan teknologi dron oleh Pasukan Gerakan Udara bagi memantau keselamatan pengguna lebuh raya.

“Selain itu pelaksanaan ‘Op Lancar’ dan memperkukuhkan konsep Omnipresent (kehadiran polis) di kawasan kerap sesak (hotspot) dan kerap kemalangan (blackspot),” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohd Khalid turut menyampaikan sijil bagi pemenang Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik bagi Op Selamat 25 dan 26.

Bagi Op Selamat 25 (Tahun Baru Cina), Anugerah Kontinjen Terbaik Kategori A disandang oleh Kontinjen Selangor, Kategori B dimenangi oleh Kontinjen Sabah, manakala Kontinjen Perlis mengungguli Kategori C. Untuk Anugerah Daerah Terbaik pula, ia cemerlang dimenangi oleh daerah Miri bagi Kategori A, Kuala Krai (Kategori B), dan Jerantut (Kategori C).

Sementara itu, bagi saingan Op Selamat 26 (Hari Raya Aidilfitri), Kontinjen Johor dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik Kategori A, diikuti Kontinjen Kedah bagi Kategori B, dan Kontinjen Melaka bagi Kategori C. Bagi Anugerah Daerah Terbaik, pengiktirafan tersebut dirangkul oleh Johor Baharu Selatan (Kategori A), Seberang Perai Selatan (Kategori B), dan Bagan Datuk (Kategori C).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top