Op Sikaro: SPRM perjelas fokus siasatan 14 syarikat

Op Sikaro: SPRM perjelas fokus siasatan 14 syarikat

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 14 syarikat dalam Op Sikaro akan memfokuskan isu salah guna lesen, pengisytiharan palsu selain beberapa syarikat yang dikesan menjadi ‘forwarding agent’ tidak berlesen bagi membawa masuk tembakau dan cerut.

Kesemua 14 syarikat bagaimanapun mempunyai lesen import sah tetapi menyalahgunakannya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, modus operandi mereka adalah melakukan kegiatan haram dengan berselindung di belakang syarikat sah dan menyalahguna lesen untuk membuat pengisytiharan palsu seperti menukar kod kastam atau butiran barangan untuk mengelak pembayaran cukai sebenar.

Katanya, selain pengisytiharan palsu, syarikat terbabit juga dikesan melakukan penyeludupan tembakau, cerut, rokok, dan minuman keras dengan menyimpan barang-barang ini di dalam gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran.

“Siasatan SPRM menerusi Op Sikaro juga akan memberi fokus kepada peranan ‘forwarding agent’ yang turut menyumbang kepada penyelewengan dan penipuan.

“Beberapa ‘forwarding agent’ dipercayai beroperasi tanpa lesen atau dokumen yang lengkap sehingga mempermudah aktiviti haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kegiatan sindiket ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai lebih RM250 juta antara 2020 hingga 2024, bagi produk tembakau dan cerut sahaja.

“Siasatan SPRM percaya jumlah kerugian keseluruhan adalah lebih besar. Ini selepas SPRM membekukan akaun perbankan individu dan syarikat bernilai kira kira RM218 juta serta menggantung lesen import beberapa pihak terlibat,” katanya.

Zamri menegaskan, kes seperti itu menjadi skop utama penyiasatan Bahagian Operasi Khas SPRM kerana ia menjejaskan hasil negara.

“Wang yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negara maka SPRM tidak boleh berkompromi dalam isu rasuah, pengubahan wang haram atau penyeludupan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top