Op Tapis Khas: Polis rampas dadah RM3.58 juta

Op Tapis Khas: Polis rampas dadah RM3.58 juta

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.58 juta selepas menahan 5,200 individu termasuk 129 warga asing menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara antara Jumaat hingga Ahad lalu.

Operasi khas selama tiga hari dijalankan 2,696 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 367 sarang penagihan dadah membawa kepada penahanan 4,987 lelaki dan 213 perempuan berusia antara 13 hingga 60 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya merampas bahan terlarang itu seberat 212.6 kilogram (kg) dan 1,199.2 liter termasuk heroin seberat lima kg, syabu (30.2 kg), ketamin (4.56 kg), ganja (53.42 kg) serta air ketum (974.74 liter).

Turut disita, satu pistol jenis revolver .38, tujuh peluru, dua senapang buatan sendiri, wang tunai berjumlah RM333,766, barang kemas (RM41,540), 34 kenderaan (RM1.58 juta) dan 69 motosikal (RM391,700).

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM5.98 juta.

“Untuk perincian, kita periksa 5,466 orang dan daripada itu, kita tahan 5,200 individu. Tahanan termasuk 942 tokan, 2,893 penagih dan 201 individu dikehendaki kesalahan dadah.

“Kalau pecahan umur, saya mahu maklumkan kita tahan 76 remaja berusia 13 hingga 18 tahun. Dua tahanan berusia 13 tahun adalah penagih, manakala mereka yang berusia 14 hingga 18 tahun ada yang turut menjadi tokan.

“Jumlah yang tidak bersekolah seramai 68 remaja dan baki bersekolah. Daripada jumlah sarang dadah pula, kita serbu paling banyak di Selangor dengan 69 lokasi disusuli 57 tempat penagihan di Sabah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Ayob Khan berkata, pihaknya akan mengadakan Op Tapis Khas sekurang-kurangnya setiap bulan selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Kita mahu konsisten dalam membuat operasi, tidak mahu tiga, empat bulan sekali. Sarang penagihan dadah ini juga kadang-kadang berpindah sebab itu kita perlu membuat operasi secara berterusan.

“Pada masa ini, Op Tapis Khas dijalankan oleh JSJN sahaja. Macam program jihad dadah, kita kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

“Kita fokus dalam aspek penyalahgunaan dadah, manakala agensi terbabit akan fokus isu pemulihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top