Op Tiris: Seleweng beras, minyak masak, tepung, gula, 6 ditahan

Op Tiris: Seleweng beras, minyak masak, tepung, gula, 6 ditahan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima lelaki warga asing serta seorang wanita tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan penyelewengan barang kawalan menerusi Op Tiris di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 24 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya membuat rampasan barangan kawalan dan subsidi iaitu minyak masak paket satu kilogram (kg), beras, tepung gandum dan gula kasar dianggarkan bernilai RM56,595.

“Dalam dua operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kawalan Selia Padi dan Beras, kami menahan lima lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan.

“Kes itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [akta 522],” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Tiris sejak 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 32 serbuan dan 101 tangkapan dibuat di seluruh negara.

“Ia membabitkan rampasan dan sitaan sebanyak 272,825 liter diesel bernilai RM6.3 jutadan 31,944 liter petrol bernilai RM 74,284 serta 2,012 kg minyak masak bernilai RM5,030.

“Selain itu, rampasan aset serta peralatan lain turut dibuat membabitkan sebanyak RM94.7 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM101 juta,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan Op Tiris bagi tempoh sama tahun lalu

adalah sebanyak RM35.1 juta iaitu meningkat sebanyak RM65.9 juta atau 187.60 peratus berbanding tahun ini.

“Tindakan tegas dan agresif dalam mengekang aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan subsidi menerusi pelaksanaan Op Tiris oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan impak positif yang memastikan ketenteraman awam serta hasil negara sentiasa dilindungi dan terus dipelihara.

“Kami akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam melaksanakan arahan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mempertingkatkan kawal selia serta operasi ke atas barangan kawalan dan subsidi di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, ia adalah bagi memastikan barangan berkenaan sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan tidak berlaku ketirisan barangan kawalan yang akan merugikan negara.

“Pembabitan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amat digalakkan supaya kegiatan jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top