hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang berjaya dilumpuhkan menerusi Op Tropicana, bulan lalu tertumpu pada individu dan bukannya institusi kewangan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata, dakwaan lima bank utama dipantau tidak timbul kerana institusi itu tidak terbabit secara khusus dalam siasatan.
“Mereka (individu disiasat) ini adalah segelintir golongan profesional termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi,” menurut kenyataan itu.
SPRM berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguat kuasa lain dalam memerangi sindiket penipuan antarabangsa, malah menerusinya, kini giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram berkenaan.
“Usaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit ini dijalankan dengan kolaborasi BNM dan badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA – United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).
“Usaha ini juga adalah tindakan susulan selepas empat dalang utama sindiket yang terdiri daripada warga asing sudah berjaya didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac dan di Mahkamah Butterworth pada 17 Mac, iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan,” kata SPRM.
Keempat-empat warga negara United Kingdom (UK) tersebut telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd