am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menyita dan membekukan aset bernilai hampir setengah bilion ringgit dalam satu kejayaan besar siasatan berterusan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang canggih menerusi Op Viking.
Pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman berkata kes itu, yang dibuka pada Oktober tahun lalu hasil risikan dikumpul sejak 2018, membabitkan rangkaian kesalahan yang kompleks, daripada pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah pelanggaran pendedahan korporat.
Antara 15 Oktober hingga 13 Januari, polis menahan 10 individu dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket itu, terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita termasuk ahli perniagaan, Victor Chin.
Ketua Pasukan, Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid, berkata siasatan mendapati kumpulan itu disyaki terbabit dalam kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, serta Akta Syarikat 2016.
Ini termasuk mengeluarkan perjanjian pinjaman yang mengelirukan, mengugut peminjam dan memanipulasi pasaran saham.
Pihak berkuasa membekukan aset terdiri lapan hartanah, 32 kenderaan dan saham milik dua syarikat.
“Polis turut menyita 2.98 bilion unit saham dengan nilai pasaran RM323.6 juta, bersama akaun dagangan bernilai RM64.2 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta.
“Kami juga merampas barangan mewah termasuk kereta, motosikal, jam tangan, barang kemas, beg berjenama dan wang tunai dalam mata wang tempatan serta asing,” katanya pada sidang media hari ini.
Sebanyak 41 individu dirakam keterangan ketika siasatan masih diteruskan.
Fazlisyam berkata polis kekal komited untuk memburu mereka yang terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pengendalian dana haram.
“Siasatan dijalankan berdasarkan fakta dan bukti diperoleh, dengan semua tindakan diambil mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan aset atau hasil yang dikaitkan dengan kes itu, sambil menegaskan kerjasama awam amat penting dalam membanteras jenayah kewangan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Polis juga menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengelak sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk mengekang pengubahan wang haram di negara ini.
Awal bulan ini dilaporkan bahawa jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, serta dua buah kereta telah disita dalam serbuan di premis yang dikaitkan dengan Chin.
Serbuan itu sebahagian siasatan lebih meluas terhadap rangkaian “mafia korporat” yang didakwa mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




