Washington: Laporan awal risikan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, serangan ketenteraan ke atas Iran hujung minggu lalu hanya melambatkan program nuklear negara itu selama beberapa bulan dan bukan memusnahkan sepenuhnya seperti didakwa Presiden Donald Trump.
Media AS yang memetik sumber terdekat dengan laporan Agensi Risikan Pertahanan (DIA) melaporkan, serangan itu gagal memusnahkan sepenuhnya fasiliti uranium serta stok simpanan bahan radioaktif milik Iran.
Menurut laporan itu, serangan hanya menutup pintu masuk ke beberapa fasiliti tanpa merosakkan struktur bawah tanahnya.
Jurucakap Rumah Putih, Karline Leavitt mengesahkan ketulenan laporan berkenaan namun menyifatkannya sebagai salah sama sekali.
Katanya, laporan itu diklasifikasikan sebagai sulit, namun dibocorkan.
“Kebocoran penilaian ini adalah usaha jelas untuk meremehkan Presiden Trump dan menjejaskan imej juruterbang berani yang melaksanakan misi dengan sempurna.
“Semua tahu apa yang berlaku apabila 14 bom seberat 30,000 paun (kira-kira 13,600 kilogram) (setiap satu) digugurkan tepat ke sasaran kemusnahan total,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pada hujung minggu lalu, pengebom B-2 AS menyasarkan dua tapak nuklear Iran dengan bom penembus kubu GBU-57, manakala kapal selam peluru berpandu berpandu AS melancarkan peluru berpandu Tomahawk ke lokasi ketiga.
Trump menyifatkan operasi itu sebagai kejayaan ketenteraan yang menakjubkan dan mendakwa ia berjaya menghapuskan tapak nuklear Iran.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pula berkata, operasi berkenaan memusnahkan program nuklear Iran.
Namun, Ketua Turus Tentera AS, Jeneral Dan Caine tampil lebih berhati-hati apabila menyatakan serangan itu hanya menyebabkan kerosakan amat besar pada fasiliti Iran.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslami berkata, kerajaan Iran mengambil langkah perlu bagi memastikan kesinambungan program nuklearnya.
“Pelan untuk memulakan semula operasi sudah dirangka lebih awal dan strategi kami adalah untuk memastikan pengeluaran serta perkhidmatan tidak terganggu,” katanya menerusi siaran televisyen negara itu.
Penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pula menegaskan, negara itu masih mempunyai stok uranium yang diperkaya dan memberi amaran permainan ini belum berakhir.
Pada 13 Jun lalu, Israel mula melancarkan kempen udara besar-besaran pada yang menyasarkan tapak nuklear Iran, saintis serta pegawai tertinggi tenteranya, dalam usaha melumpuhkan kemajuan nuklear Tehran.
Trump sebelum ini cuba menamatkan kebuntuan diplomatik dan menggantikan perjanjian nuklear 2015 yang dimansuhkannya pada penggal pertama, namun akhirnya memilih tindakan ketenteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd