Operasi khas periksa 9,542 kenderaan, sita 66 motosikal

Operasi khas periksa 9,542 kenderaan, sita 66 motosikal

Kuala Lumpur: Sebanyak 9,542 kenderaan diperiksa, manakala 66 motosikal disita sepanjang empat siri Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di sekitar ibu negara.

JPJ WPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi itu dilaksanakan selaras dengan Arahan Penguatkuasaan Ops HRA 2026 yang memberikan penekanan kepada aspek keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang musim perayaan, berteraskan slogan “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.

Antara kesalahan utama dikesan termasuk tiada lesen memandu (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tidak mematuhi lorong motosikal, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, serta pengubahsuaian kenderaan termasuk ekzos.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan, khususnya melibatkan penunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai golongan berisiko tinggi di jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi terkini pada semalam di Plaza Tol Sentul Pasar, sebanyak 3,120 kenderaan diperiksa dan pelbagai kesalahan dikesan melibatkan lesen memandu, LKM serta perlindungan insurans.

Operasi itu turut melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan penguatkuasaan lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam pada itu, pemilik motosikal yang disita diingatkan supaya membuat tuntutan dalam tempoh ditetapkan, manakala kenderaan yang gagal dituntut dalam tempoh tiga bulan akan dimohon untuk tindakan lucut hak mengikut peruntukan undang-undang.

JPJ menegaskan penguatkuasaan akan terus dipergiat secara tegas dan berterusan, khususnya terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi undang-undang serta melakukan pengubahsuaian berbahaya.

Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya diseru memastikan memiliki lesen memandu sah, cukai jalan dan insurans yang masih berkuat kuasa, serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top