Operasi laut diperketat, 255 kes jenayah sempadan dikesan awal tahun ini

Operasi laut diperketat, 255 kes jenayah sempadan dikesan awal tahun ini

am@hmetro.com.my

Kangar: Pembanterasan jenayah di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis meningkat untuk tiga bulan pertama tahun ini susulan kerjasama pihak berkuasa kedua-dua negara.

Sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 255 kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut pelbagai seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/1963, Akta Kanun Keseksaan, Akta Kastam 1967 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Ketua Bahagian Operasi/Risik Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang, Deputi Superintendan Mirkair Abdul Rasul berkata, dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan sebanyak 61 operasi pembanterasan jenayah berbanding 246 operasi sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada 255 kes yang direkodkan itu, nilai rampasan mencecah RM2.9 juta berbanding sepanjang tahun lalu yang merekodkan 681 kes dengan nilai rampasan RM6.7 juta.

“Pemeriksaan berterusan turut dijalankan dengan 1,635 bot nelayan, kapal layar, bot ‘barter trade’, bot pelancong dan penumpang serta kawasan sangkar ikan dilaksanakan pada tiga bulan pertama ini berbanding 5,579 pemeriksaan yang sama pada seluruh tahun lalu.

“Kita melihat ia meningkat untuk tiga bulan pertama ini disebabkan kerjasama PPM dengan Polis Marin Diraja Thailand (RTMP) dalam penyaluran dan perkongsian maklumat berkait jenayah atau kesalahan dilakukan dalam kawasan perairan sempadan Malaysia-Thailand ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan sempena Program Rendezvous antara PPM Wilayah Satu Langkawi bersama RTMP Wilayah Satun di sekitar perairan Sempadan Malaysia-Thailand di Kuala Perlis, di sini semalam.

Turut serta Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi (PPMO) PPM Wilayah Satu Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad yang melakukan rondaan di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran perairan Kuala Perlis dan Satun bersama Inspektor Polis Marin Satun, Leftenan Kolonel Paradon Sawasdee.

Seramai 15 anggota PPM Wilayah Satu Langkawi dan 12 anggota Polis Marin Satun terbabit dalam penugasan Program Rendezvous berkenaan.

Selain itu, pencerobohan perairan negara oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) Myanmar dari etnik Rohingya pada waktu ini dilihat berkurangan.

“Namun kita sentiasa berkongsi dan bertukar maklumat bersama Polis Thailand berhubung situasi ini. Kita tahu cubaan membolosi ke negara kita ini tidak hanya berlaku di laluan darat sahaja malah di laluan laut juga sering terjadi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top