am@hmetro.com.my
Kuantan: Operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor di Gebeng, di sini, sejak Ahad lalu, diperhebatkan, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, Zahidah Ali berkata, kekuatan anggota bomba juga ditambah kepada 40 orang untuk mengawal dan memadam kebakaran bagi mengelak api merebak ke lokasi berisiko.
Menurutnya, tapak pelupusan sampah itu terletak berhampiran saluran paip gas dan laluan kabel fiber optik bawah tanah serta pencawang elektrik.
“Jarak lokasi kebakaran dengan saluran paip gas dan laluan fiber optik itu ialah antara lima dan lapan meter.
“Syarikat pemilik saluran paip gas terbabit juga sudah mengambil semua langkah perlu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Sehingga kini, risiko api merebak ke lokasi terbabit juga amat rendah dan anggota bomba berkawal di kawasan terbabit sepanjang masa,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Zahidah berkata, operasi pemadam dilakukan 24 jam sehari sejak laporan mengenai kebakaran itu diterima pada jam 3.46 petang, Ahad lalu.
Menurutnya, kebakaran membabitkan kawasan seluas lebih satu hektar dan terdapat bara di bawah timbunan sampah menyebabkan lokasi sekitar tapak pelupusan sampah itu diselubungi asap.
Katanya, kebakaran itu turut memberi kesan kepada pencemaran udara dan berbahaya kepada anggota bomba yang terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.
“Disebabkan kesan pencemaran amat tinggi, semua anggota terbabit dalam operasi pemadaman ini perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan pakaian perlindungan diri (PPE).
“Punca kebakaran sedang disiasat, tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kerana faktor cuaca panas,” katanya.
Sehingga jam 3 petang tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Balok Baru menurun ke 96 berbanding 151 pada jam 8 malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd